.........................................~~~~~~~~~~~~xoxoxoxox~~~~~~~~~~~~......................................
Kehidupan kepada aku terbahagi kepada dua, hitam putih, positif negatif. Banyak pasangan di sekeliling aku berada dalam keadaan tahap perbezaan hitam putih, positif negatif yang sangat jelas. Akhirnya perbezaan ini apabila tidak dibincang secara terbuka menjadikan ia sebagai "time-bomb" yang meletus tanpa diduga.
Bukannya kita tak boleh menerima perbezaan pasangan kita tetapi persoalannya "sampai bila" perbezaan itu terus berbeza dan masing-masing angkuh dengan perbezaan masing-masing. Jika satu pihak memilih untuk menerima, kenapa tiada ruang untuk satu pihak lagi berubah? Dan sebaliknya.
Keadaan ini seringkali mewujudkan salah faham yang akhir membawa banyak pasangan melayari kehidupan mereka secara berasingan. Si isteri di rumah dengan anak-anak, si suami menghabiskan masa di pejabat kerana bosan dengan sikap si isteri yang terlalu bergantung kepadanya untuk melakukan semua perkara dari bayar bil api sampai bawa anak ke padang permainan.. Kemudian yang bermain di kepala suami ialah "bawalah anak-anak keluar ke perpustakaan ke, atau ke padang permainan ke, atau merayau ke shopping complex...tak perlu menunggu aku semata-mata sahaja. Takkan benda macam tu pun aku kena bagi tau...tak kan lah tak boleh fikir sendiri?"
Apa yang bermain di kepala si isteri pula ialah, "suami aku memang tak ada masa untuk aku. Buat apa dia kawin dengan aku kalau masanya lebih banyak dihabiskan diluar. Aku pun sunyi juga. Ingatkan bila kawin aku akan dapat teman untuk melayan aku, keluar bersama, tengok wayang atau duduk makan berdua...Ini aku kena duduk di rumah, menjaga anak, menjaga makan pakai dan rumah...Mana bahagian aku dalam perkahwinan ini..."
Akhirnya si suami semakin jauh dari isteri dan mula meliar mata memandang dan mencari sesiapa yang boleh mengisi kekosongan. Si isteri di rumah terus memendam rasa dan kekecewaan. Ada masanya dia akan protes dengan tidak memperdulikan makan pakai suami dan anak-anak untuk menarik perhatian si suami...
Maka apa yang berlaku ialah si suami menjadi bosan dengan si isteri dan si isteri merasa kesunyian keseorangan. Masing-masing akan masih dengan tembok dan ego yang akhirnya melarat kepada tersinggung, marah, kecewa dan akhirnya masing-masing membawa diri mengikut haluan sendiri.
Masihkah perlu kita menerima semata-mata keadaan ini?
Bukankah lebih baik kita mula memikirkan sebab musabab mengapa berlakunya keadaan ini dan carilah jalan keluar yang terbaik...Perpisahan belum tentu jalannya kecuali kedua-dua pasangan redha bahawa antara mereka sudah tidak ada jodoh atau masing-masing menyedari bahawa mereka sekadar meneruskan perkahwinan semata-mata kerana anak.
Perkahwinan adalah cantuman dua hati untuk mencapai matlamat dalam kehidupan. Bukan sekadar meramaikan umat Islam semata-mata. Perlu ada keterbukaan dalam perhubungan supaya kedua-dua pihak tahu peranan mereka dalam mengemudikan bahtera mereka. Keterbukaan ini akan membuka ruang bersama yang menutup kebosanan dan kesunyian. Kalau kena digayakan, suami isteri dapat menjadi team yang sama-sama memahami matlamat kehidupan mereka dan bekerja keras untuk mencapai setiap matlamat yang telah ditetapkan.
Namun begitu jika si suami memilih untuk berkahwin lain, bukan bermakna kasih sayangnya pada isteri pertama sudah berkurangan tetapi perkahwinan kedua dijadikan sebagai landasan supaya suami dapat memenuhi tuntutan dalaman yang tidak dapat dipenuhi oleh isteri pertama. Kita masih terikat dengan budaya monogamy sedangkan tuntutan jiwa lelaki memerlukan lebih dari seorang wanita dalam hidup mereka. Ramai di antara wanita Melayu yang masih tidak dapat membezakan antara fahaman budaya dan tuntutan agama. Oleh itu mereka sanggup melukakan hati si suami asalkan ego dan kedudukan mereka di mata masyarakat tidak tercabar.
Kalau difikirkan dan dihalusi mengapa zaman sekarang si suami perlu berkahwin lebih dari seorang adalah kerana sifat dan sikap si isteri pertama yang terlalu bergantung dan mengharap si suami sentiasa bersama sehingga tiada ruang untuk si suami menikmati kehidupan selain dari semata-mata memenuhi tuntutan si isteri.Ada pula si isteri sanggup beremosi sehingga melemaskan orang sekeliling hanya untuk meraih simpati. Ada juga yang sanggup menghabiskan wang untuk membomohkan suami agar tidak beristeri lain. Ada juga yang sanggup mengugut si suami dengan tuntutan cerai semata-mata supaya suami tidak berkahwin lain.Untuk apa semua itu? Untuk apa membuka kelemahan diri sendiri semata-mata untuk memiliki seorang manusia yang bukannya hak milik? Kenapa menjadikan suami seperti banduan dan perkahwinan sebagai sebuah perangkap?
Mungkin ramai yang akan membidas, cakap senang tapi kalau engkau sendiri yang berada dalam kemelut di mana kekasih hati diambil orang lain, sanggupkah kau nak berdepan dengan sakit hati, patah hati , remuk redam, kekecewaan diduakan atau rasa kehilangan yang amat sangat...
Nak dihitung, banyak lagi masalah-masalah lain yang juga sama berat atau lebih berat jika difikirkan dari hanya masalah suami kawin lain. Kehidupan masih perlu diteruskan, umur terus meningkat, anak-anak terus membesar...Masa terus berjalan. Adakah kita masih lagi di takuk ...aku kecewa suami aku kawin lain...Kenapa tidak bangun, perbaiki keadaan, teruskan kehidupan dan jadikan apa yang sudah berlaku kepada yang lebih baik. Dari terus meratap dan memendam kekecewaan, lebih baik perbaiki hubungan dengan semua yang ada di sekeliling kerana kita yang melakar kehidupan sendiri.
Kalaulah keadaan itu dianggap sebagai dugaan yang menguatkan hati dan diri kita sama seperti masalah lain, rasanya itu pasti mengangkat kedudukan kita sebagai wanita di mata Islam. Kalaulah kita sebagai wanita menerima hakikat agama bahawa si suami berhak dan itu adalah hak mutlak mereka, mungkin kadar zina dan tangkap basah di Malaysia akan menurun.Cuba bayangkan apabila anak gadis kita pulang dengan permintaan untuk menjadi isteri kedua, apa pula yang akan kita kata? Adakah.."tak ada lelaki lain yang kau nak jadikan suami? Kenapa mesti suami orang? Kenapa tak cari satu sama satu?"Asakan soalan yang hanya untuk menutup malu pada masyarakat sedangkan salahkah permintaan si anak itu? Salahkan dalam Islam jika si anak itu nak berkahwin dan menjadi isteri kedua?Adakah Islam mengharamkan perkahwinan kedua?Mengapa kehendaknya diketepikan semata-mata kerana untuk menjadi isteri kedua?Hinakah menjadi isteri kedua?Terfikirkah pula mengapa si suami itu ini beristeri dua? Kenapa si isteri begitu cepat beremosi tanpa memahami keadaan kenapa dan mengapa si suami mengambil keputusan untuk beristeri lain? Tentu ada sebab, kenapa tidak dibuka ruang untuk memahami?Kalau si isteri ingin kehendaknya difahami dan dipenuhi, pernahkah pula dia berfikir tentang kehendak dan keperluan si suaminya? Mengapa dia perlu terus membantah dan memberontak sedangkan sebab musabab belum diketahui?Sebagai isteri, kebijaksaan dan kegagahannya terletak pada kekuatan perasaannya untuk mengawal suasana. Tetapi terlalu ramai si isteri di luar sana yang merasakan diri mereka diabai sedangkan dalam masa yang sama mereka juga mengabaikan kehendak dan keperluan suami mereka. Hakikatnya, ramai isteri di luar sana perlu faham dan belajar untuk saling memahami.
Islam adalah matlamat. Atas kewajaran itu, lelaki dibenarkan berkahwin lebih dari seorang kerana tuntutan kehidupan tidak memungkinkan seorang wanita memikul tanggungjawab mengendalikan permasalahan keluarga seorang diri. Begitu juga lelaki. Malangnya apabila si wanita yang diamanatkan sebagai isteri gagal memahami peranan si suami dalam menyatu padukan keadaan sekeliling dan bagaimana dia sebagai isteri perlu menjadi pengikat kepada keadaan-keadaan sekeliling, maka tunjang kekuatan si suami semakin rapuh.
Maka akhirnya si suami kepenatan dan menjadi bosan dengan karenah si isteri yang terlalu memerlukan si suaminya.
Keadaan si isteri yang terlalu bergantung pada suami sebenarnya disebabkan kesunyian dan rasa keseorangan sepanjang masa. Ramai suami yang gagal menyedari keperluan si isteri dari segi masa bersamanya. Ramai suami beranggapan bahawa si isteri ialah ibu dan suri dalam sebuah rumahtangga. Bagaimana pula dengan tuntutan jiwanya sebagai seorang wanita, kekasih dan pujaan hati? Tugas yang dilakukan di rumah sebenarnya bukan tuntutan dalam agama kecuali melahir dan mendidik anak-anak. Tugasan lain yang dilakukan dengan penuh kerelaan adalah sebagai tanda kasih, sayang dan cinta kepada si suami. Apa pula balasan si suami pada pengorbanan ini?Ramai juga suami yang terlalu asyik dan leka dengan layanan yang mereka terima dari isteri mereka sehingga mereka terlupa bahawa si isteri itu ialah orang dan bukan barang! Tetapi akibat kelekaan itu, mereka semakin menitik beratkan hanya keperluan diri mereka dan mengenepikan keinginan si isteri. Banyak keadaan si isteri ibarat super woman yang bekerja dari 5 am sehingga 12 tgh malam tanpa apa-apa balasan sama ada hanya ucapan terima kasih atau dakapan mesra atau hadiah atau kemesraan yang meredakan kepenatan seharian. Bayangkan pula jika si isteri yang merancang percutian sendirian bersama anak-anak kerana si suami tiada masa dan sibuk bekerja? Suami sebegini biasa tidak pernah sedar apa si isteri telah lakukan dan korbankan, bagi mereka apa yang penting ialah mereka selesa dan tidak dibebani dengan apa-apa masalah dalam pengendalian rumahtangga kerana semuanya dijalankan dengan tip-top oleh si isteri! Dan kebiasaannya isteri mereka tidak lebih sebagai "trophy wife" yang ditunjuk kepada semua orang dan selepas itu disimpan di atas almari!Bayangkan penderitaan batin yang dialami oleh si isteri ini. Kalau akhirnya si isteri ini memilih untuk berpisah, memang si suami tak sanggup melepaskan "robot istimewa" ini. Silap haribulan, segala tuntutan si isteri seperti tuntutan edah, mutaah, harta sepencarian, nafkah anak akan tidak dibayar supaya mereka tidak kerugian dari segi wang ringgit! Maka sebuah perkahwinan di mata lelaki seperti ini biasanya adalah demi kepentingan diri sendiri semata-mata..Perlukah si wanita menerima layanan sebegini pula?
Si isteri itu akhirnya akan kepenatan kerana terlalu sunyi, sepi dan senyap dalam keriuhan kehidupan...
Ketika si suami sudah bosan dan si isteri mula tertekan dengan kesunyian, penceraian mula menjadi permainan di bibir...Mangsanya tetap pada anak-anak, itu pasti.
Aku hanya mampu menyebut sahaja...
Secangkir Kopi
Sharifah HassanLabels: love, marriage